ad
AGENDA

Penuntut UMT maut, rakan parah motor terlanggar penghadang lebuh raya

3 Jul 2025, 11:04 PM
Penuntut UMT maut, rakan parah motor terlanggar penghadang lebuh raya

CHUKAI, 3 JULAI: Seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlanggar penghadang jalan di selekoh masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata mangsa yang maut ialah Siti Ain Balqis Hamdan, 23, berasal dari Gombak, Kuala Lumpur manakala rakannya Nur Intan Syafiera Batrisya Hamzah, 22, dari Mantin, Negeri Sembilan yang membonceng motosikal, cedera pada kepala, badan dan kaki.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

"Polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 3 petang. Siasatan awal mendapati Siti Ain tercampak ke sebelah kiri manakala rakannya terjatuh atas jalan raya.

"Siti Ain meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala rakannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang untuk rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT Prof Mohd Izani Mohd Zain berkata UMT telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM12,500 kepada waris Allahyarhamah Siti Ain bagi tujuan khairat kematian, pengurusan jenazah dan Skim Perlindungan Pelajar.

Beliau berkata bagi Nur Intan Syafiera Batrisya pula, UMT telah menyerahkan Bantuan Bingkas Kasih sebanyak RM500 bagi meringankan beban dan rawatan hospital berjumlah RM2,500 menerusi surat jaminan universiti berkenaan.

"Pihak UMT amat berdukacita dengan kejadian malang yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.