ad
AGENDA

Gubal undang-undang, hukuman lebih berat banteras tapak sampah haram

3 Jul 2025, 7:00 PM
Gubal undang-undang, hukuman lebih berat banteras tapak sampah haram
Gubal undang-undang, hukuman lebih berat banteras tapak sampah haram

SEPANG, 3 JULAI: Undang-undang baharu yang memperuntuk hukuman lebih berat terhadap operator dan pemilik tanah perlu digubal untuk membanteras kegiatan pelupusan sampah haram.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pelaku mesti menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang meninggalkan kesan sangat parah kepada alam sekitar dan masyarakat.

“Satu langkah bersepadu perlu dilaksanakan kerana ia bukan hanya ada di Dengkil, tetapi Kajang dan juga Hulu Selangor. Hal ini perlu ditangani. Isunya adalah isu tanah dan penguatkuasaan.

[caption id="attachment_708360" align="alignleft" width="433"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Cycbersouth 10, Sepang pada 3 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Perlu ada penggubalan undang-undang baharu kerana sekarang kita agak terangkum di bawah Kanun Tanah. Mungkin naikkan denda dan tindakan tegas bukan saja kepada operator pembuangan sampah tapi tuan tanah kerana telah menyebabkan kesan yang sangat parah.

“Kerajaan berbelanja puluhan juta sebenarnya untuk kita bersihkan kawasan-kawasan yang terkesan. Perlu rangka balik daripada segi perundangan supaya ada tindakan tegas, pampasan dan denda lebih tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Sejak minggu lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Monorail, Sungai Choh seluas 2.5 ekar terbakar sehingga menjejaskan persekitaran berhampiran.

Ketua Balai Bomba Bukit Sentosa Kamil Hamadan berkata pasukannya mengalami kesukaran memadam api kerana masih terdapat bahang dan nyalaan daripada bawah tanah.

Katanya, kebanyakan sisa dibuang adalah sampah pukal dan setinggi lebih 20 kaki, jika dianggarkan seakan-akan rumah teres dua tingkat.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata pihak berkaitan sedang mengumpul maklumat dari aspek status guna tanah, pelesenan dan sama ada pelupusan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.