SEPANG, 3 JULAI: Siasatan kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu, dilakukan dengan bebas dan telus tanpa campur tangan Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan ruang diberikan seluas-luasnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan, malah pihak Kerajaan Negeri turut dipanggil sebagai saksi.
“Kerajaan Negeri tidak terlibat langsung. Mereka memanggil kami sebagai saksi dan semua saksi ada 212. Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri memberi peluang seluasnya kepada polis.
"Polis memanggil 212 saksi. Daripada majlis tempatan, pemaju sebelah rumah kedai, penjaga, pengawal keselamatan dan pengendali jengkaut, semuanya telah dipanggil dan diperiksa. Pegawai Petronas, pegawai MBSJ, pejabat tanah, semuanya telah dipanggil.
"Kalau nak tengok secara terperinci boleh semak. Siasatan sudah ada. Dokumen sudah lengkap, boleh tengok dan boleh siasat. Saya tiada masalah. Ambil tindakan yang sewajarnya kalau ada sebarang tindakan yang dianggap cuai. Tapi siasatan pihak polis tidak mendapati kecuaian dan tindakan khianat,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.
Jelas Amirudin, laporan penuh hasil siasatan insiden itu akan dibuka kepada umum selepas mendapat kebenaran pihak bertanggungjawab.
“Siasatan itu, saya akan awamkan nanti selepas dapat kebenaran dan mereka boleh semak dan kenal pasti siapakah pihak yang bertanggungjawab. Di situ ada gambaran siapa pihak yang bertanggungjawab ataupun penjelasan.
“Kita tidak bolehlah anggap semua benda ini ada orang yang mengganggu. Persepsi perlu dibuktikan secara tepat dan saintifik. Dengar dulu laporan itu. Kita akan melanjutkan banyak perbincangan dan mengemukakan dengan pihak-pihak terbabit.
“Saya juga telah umumkan bahawa kita akan wujudkan satu jawatankuasakuasa khas untuk menyemak laporan tersebut, bersama dengan cadangan-cadangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, ketika ini proses pembaikan rumah yang terjejas akibat kejadian tersebut sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang sangat baik.
“Baik pulih sedang dibuat oleh pihak kerajaan. Seperti di Kampung Kuala Sungai Baru Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang buat. Perkembangan sangat baik,” katanya.
Sebelum ini, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) tidak berpuas hati insiden tersebut diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan mendesak siasatan semula dijalankan.
Kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April lalu, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Pihak bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.