ad
PBT

RM1.9 juta bina pusat penempatan haiwan liar di Kuala Langat

3 Jul 2025, 12:39 PM
RM1.9 juta bina pusat penempatan haiwan liar di Kuala Langat

Oleh Teoh Yee Shen

KUALA LANGAT, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan membina pusat penempatan khusus bagi anjing liar yang dijangka siap tahun depan dengan kos RM1.9 juta susulan peningkatan populasi haiwan itu di daerah ini.

Ahli Majlis MPKL, Ang Lee Yong berkata masalah anjing liar menimbulkan kebimbangan penduduk termasuk kejadian beberapa kes gigitan anjing seperti dilaporkan.

“Bagi menguruskan isu ini secara lebih berkesan, MPKL memperuntukkan dana bagi membina pusat penempatan seluas satu ekar sebagai lokasi kawalan dan penjagaan anjing liar. Ia dijangka siap 2026,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Tambah beliau, MPKL turut menghantar pegawai untuk menangkap anjing liar apabila menerima aduan daripada penduduk namun haiwan itu hilang menjadikan usaha menangkap semakin sukar.

“Kaedah penangkapan tradisional juga boleh mengundang kritikan daripada pertubuhan kebajikan haiwan jika tidak dilaksanakan dengan betul,” katanya.

Beliau menjelaskan, MPKL turut melaksanakan program pemandulan, tetapi proses itu memerlukan penilaian kesihatan haiwan terlebih dahulu dan melibatkan kos tinggi, manakala kadar pembiakan anjing liar pula sangat tinggi sekali gus menyukarkan kawalan populasi.

Katanya MPKL juga mencadangkan sangkar anjing diagihkan kepada persatuan penduduk di setiap kawasan bagi membolehkan usaha menangkap anjing liar dijalankan dalam komuniti.

Dalam Mesyuarat Bulanan MPKL pada 26 Jun lalu, empat langkah dicadangkan untuk menangani isu berkenaan termasuk mempercepat pembinaan pusat penempatan, melaksanakan program pemandulan secara mandatori, memperkukuh pendidikan dan kesedaran awam, serta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.