ad
BERITA UTAMA

Pemulihan Pasar Jalan Othman: Gabung tradisi, seni dan kehidupan komuniti

3 Jul 2025, 11:11 AM
Pemulihan Pasar Jalan Othman: Gabung tradisi, seni dan kehidupan komuniti
Pemulihan Pasar Jalan Othman: Gabung tradisi, seni dan kehidupan komuniti

SHAH ALAM, 3 JUL: Pelan Pemulihan Pasar Jalan Othman akan dilaksanakan secara berfasa menerusi pendekatan berasaskan komuniti dalam usaha memastikan pembangunan kawasan bersejarah itu kekal inklusif, tersusun dan mampan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya memberitahu inisiatif itu dirangka susulan sesi libat urus bersama wakil peniaga pada April lalu dan sesi meja bulat minggu lepas yang menghimpunkan lebih 30 peserta pelbagai latar belakang.

Lee Chean Chung berkata antara peserta terlibat termasuklah penggiat seni, perunding perancangan bandar, penerbit, wakil institusi pendidikan seni dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyumbang idea ke arah pembangunan pelan tindakan menyeluruh.

[caption id="attachment_708274" align="aligncenter" width="810"] Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung hadir bagi mendengar pandangan daripada 30 individu dari pelbagai latar belakang dan kaum ketika sesi meja bulat Pelan Pemulihan Pasar Jalan Othman di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya pada 27 Jun 2025. Foto Lee Chean Chung[/caption]

“Peserta menyatakan komitmen dan sokongan terhadap usaha mengekalkan peniaga sedia ada serta suasana komuniti pasar yang telah lama wujud.

"Mereka mahu pemulihan ini menjadi pemangkin kepada penghidupan semula kawasan lama Petaling Jaya, bukan sekadar ubah suai fizikal semata-mata,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Chean Chung, pelbagai cadangan dikemukakan termasuk memperkenal ruang serbaguna, galeri pameran komuniti, bengkel seni serta ruang kolaborasi antara institusi pendidikan dan penduduk tempatan.

Tambah beliau, konsep ekosistem pelbagai guna yang menyatukan elemen tradisional dan kontemporari mampu menarik pengunjung pelbagai lapisan, di samping memastikan kelestarian pasar jangka panjang.

“Kita mahu gabungkan pelanggan lama dengan generasi baharu. Ruang ini perlu bersifat terbuka, menyatu dan berfungsi secara kolektif,” ujarnya.

Dalam sesi tersebut, peserta turut mengesyorkan penubuhan unit penyelaras khas bagi menyelia pelaksanaan pelan, termasuk urusan kemasukan penyewa, operasi harian dan pembangunan kerangka pengurusan jangka panjang yang mampan.

Justeru, beliau mengalu-alukan penyertaan individu, organisasi atau institusi untuk menghantar kertas kerja kepada Pejabat Parlimen Petaling Jaya sebelum dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pertimbangan lanjut.

“Pejabat Parlimen sedia memberi sokongan sewajarnya demi mempercepat pelaksanaan pelan ini, selari dengan agenda pembangunan mampan PJ Lestari yang saya tekankan sejak awal penggal.

"Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin kita mampu melihat kemajuan positif dalam tahun ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.