SHAH ALAM, 3 JULAI: Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya 13 Julai ini.
Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata bermula 9 pagi hingga 3 petang, program berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) USJ7.
Menurutnya, inisiatif itu menyediakan pemeriksaan fizikal, jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.
[caption id="attachment_662382" align="alignleft" width="500"] ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media selepas meninjau program Selangor Saring DUN Subang Jaya di Dewan MBSJ, Subang Jaya pada 8 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Anda digalakkan membuat pandaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi itu.
“Mereka yang berminat juga tidak perlu berpuasa dan pendaftaran secara 'walk-in' tidak dibenarkan,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, orang ramai boleh mendaftar Selangor Saring di aplikasi SELangkah melalui empat langkah berikut:
1. memuat turun SELangkah
2. tekan butang Selangor Saring
3. isi borang soal selidik
4. pilih lokasi dan tarikh program
Sebarang masalah boleh hubungi hotline Selcare 1-800-22-6600.
Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin memaklumkan 2,190 individu menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program itu dari Februari hingga 15 Jun tahun ini.
Katanya setakat ini, program berkenaan selesai dianjurkan di 15 DUN dan akan diteruskan secara berperingkat ke kawasan lain sepanjang tahun ini.
Program Selangor Saring antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.