KLANG, 2 JULAI: Lebih 3,000 tan sampah berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang menerusi penggunaan dua jentera pembersihan sungai sejak 2019.
Pengarah Rivers The Ocean Cleanup berkata penggunaan jentera Interceptor 002 dan 005 melalui program ‘30 Cities’ berjaya menambah baik pengurusan sisa di sungai.
“Kita berjaya keluarkan 3,000 tan sampah sejak 2019. Kita jangkakan apabila kita menambah pemasangan perangkap sampah (log boom), kita akan dapat kumpulkan lebih banyak sampah pada masa hadapan.
“Kebanyakan sampah yang kami temui adalah bahan organik seperti kayu dan banyak juga plastik. Ada yang kami boleh lupuskan atau hantar ke tapak pelupusan sampah,” kata Marco Piët.
Beliau ditemui selepas menghadiri pelancaran Pusat Pengasingan Sampah Sungai Klang, yang disempurnakan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain di sini, hari ini.
[caption id="attachment_708205" align="alignnone" width="871"] Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo (tengah), Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain (dua, kanan) dan Pengarah Rivers The Ocean Cleanup Marco Piët (dua, kiri) ketika melawat Pusat Pengasingan Sisa Sampah pada Majis Perasmian Kemudahan Pengasingan Sisa Sungai Klang di Sungai Pinang, Klang pada 2 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Marco menambah, pihaknya berhasrat menambah serta menaik taraf lebih banyak perangkap sampah di Sungai Klang pada Ogos dan September ini bagi membantu membersihkan sungai dengan lebih berkesan.
Menjelaskan keadaan Sungai Klang masih tidak banyak berubah, Marco menjangkakan kerjasama The Ocean Cleanup bersama Kerajaan Negeri tidak akan tamat dalam tempoh terdekat.
“Kerjasama The Ocean Cleanup di Klang, kita harapkan dapat selesai tahun depan, tetapi nampaknya tidak mungkin.
“Apa yang kita buat dalam program ini adalah kita letakkan sistem dalam pengurusan sungai dan kita cuba dapatkan dana sekurang-kurangnya untuk lima tahun, dan kemudian kita akan serahkan kepada kerajaan,” katanya.
Interceptor adalah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.
Sejak 2019, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Belanda itu menyediakan inisiatif Interceptor untuk saliran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.
Untuk rekod, jentera Interceptor 005 mula beroperasi di Sungai Klang pada Oktober 2021, melengkapi penggunaan Interceptor 002 sejak Ogos 2019 di jajaran sungai yang sama.