Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 2 JULAI: Kerajaan menguatkuasakan larangan mengimport aksesori nyah aktif penggera tali pinggang keledar mulai 31 Disember ini.
Larangan itu dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 2) 2025, yang menetapkan larangan mutlak pengimportan alat itu ke negara ini.
Arahan itu termasuk 'dummy buckle', aksesori nyah aktif penggera tali pinggang keledar, pemanjang klip tali pinggang keledar atau sebarang aksesori dan peranti lain serupa untuk dimasukkan ke dalam slot tali pinggang keledar.
Semua aksesori berkenaan bertujuan nyah aktif atau memintas peringatan keselamatan dan menyebabkan mekanisme tali pinggang keledar tidak berfungsi.
Sementara itu, tinjauan Media Selangor dalam beberapa portal beli-belah dalam talian mendapati aksesori nyah aktif penggera tali pinggang keledar dijual dengan harga serendah RM1.60 hingga RM10, tertakluk kepada jenis dan model.
Penjualan aksesori nyah aktif penggera tali pinggang keledar itu bukan sahaja dikendalikan oleh penjual tempatan malah ada juga stok diperoleh dari luar negara dan lebih memeranjatkan, jualan aksesori itu lebih 17,000 unit.
Pada 13 Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengharamkan alat tersebut.
Beliau berkata penggunaan alat nyah aktif penggera itu melanggar peraturan kerana telah menyebabkan pemandu dan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar ketika pemanduan atau berada dalam kenderaan.