Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 2 JULAI: Program pembudayaan inovasi di negeri diperkukuh di tiga peringkat iaitu sekolah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat swasta.
EXCO pembudayaan inovasi berkata pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk inisiatif pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan program intervensi awal.
Jelas Dr Mohammad Fahmi Ngah, antara usaha terbaharu yang dilaksanakan ialah pelancaran program Stand4All Makerspace di DUN Seri Setia yang dilengkapi kemudahan pencetak 3D, dron dan modul latihan.
[caption id="attachment_707941" align="alignleft" width="402"] EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah ditemui pemberita ketika program pembentangan ‘Halal Global Market Overview’ dalam pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 6 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Ruang ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mendalami STEM secara praktikal melalui projek seperti robotik dan persembahan," katanya kepada Media Selangor, hari ini.
Tambah beliau, program intervensi selama enam bulan dimulakan tahun ini untuk pelajar tingkatan dua dan tiga yang tinggal di perumahan rakyat Lembah Subang.
"Matlamatnya supaya mereka cenderung memilih aliran sains selepas tingkatan tiga dan prestasi akademik dalam subjek sains serta matematik juga meningkat," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya satu lagi inisiatif diperkenalkan iaitu kelas tuisyen percuma dalam talian bagi subjek fizik, matematik dan biologi.
Seramai 40 pelajar tingkatan empat dari seluruh negeri ini terlibat dalam fasa awal program tajaan swasta itu, yang akan bermula Julai ini.
"Pembekal kini sedang menemu duga pelajar bagi memastikan kelayakan mereka," katanya sambil menjelaskan program itu akan diperluaskan tahun depan jika ada peningkatan prestasi.
Fahmi berkata budaya inovasi digital terus diperkasakan menerusi program khas melibatkan sekurang-kurangnya lima PBT dalam tempoh terdekat.
"Selain itu, kerajaan negeri juga merancang untuk menyalurkan geran kepada syarikat swasta yang memiliki teknologi STEM terkini bagi menggalakkan inovasi di peringkat perusahaan," katanya.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM1 juta bagi memperkasa program berkaitan STEM di peringkat sekolah untuk menyuntik minat generasi muda.