SHAH ALAM, 2 JULAI: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tercampak ke kawasan paya bakau selepas kereta dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat Telok Gong, Pelabuhan Klang dekat sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.14 pagi.
"Sejurus tiba didapati kemalangan itu melibatkan dua kenderaan, iaitu kereta jenis Perodua Aruz telah melanggar sebuah lori. Pemandu kereta tercampak keluar dari kawasan kemalangan iaitu jambatan setinggi 25 kaki (7.62 meter) sebelum jatuh ke dalam kawasan paya bakau," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi menyelamat tamat kira-kira dua jam kemudian selepas mangsa berumur 40 tahun yang mengalami cedera ringan itu berjaya dikeluarkan pada 4.12 pagi, dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
- BERNAMA