ad
EXCO

EXCO: Langgar peraturan, tauliah mengajar agama ditarik

2 Jul 2025, 11:58 AM
EXCO: Langgar peraturan, tauliah mengajar agama ditarik

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sijil tauliah mengajar agama Islam akan ditarik jika pengajar didapati melanggar undang-undang ditetapkan, tegas EXCO agama Islam.

Dr Fahmi Ngah berkata pemegang tauliah tertakluk kepada Peraturan 14(1); Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 iaitu beragama Islam, bermastautin di Selangor, tidak memegang jawatan parti politik dan anggota pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, peraturan untuk memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik dan perpecahan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal keenam Dewan Negeri Selangor 2023.

“Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima pelbagai aduan terhadap pengajar seperti memegang jawatan dalam parti politik, tidak berakhlak mulia, mendatangkan perasaan benci kepada kerajaan dan membangkitkan isu perasaan permusuhan antara kaum.

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tauliah Mais akan menggantung tauliah jika terdapat aduan berasas yang diterima terbukti benar,” maklumnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai membuat aduan terhadap perbuatan yang melanggar peraturan tauliah di kalangan pengajar melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di talian 1800-882424.

“Semakan syarat kelayakan pendakwah tauliah juga boleh dibuat pada pautan laman web di https://etauliah.mais.gov.my,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan pengajar untuk terus komited dalam menyampaikan dakwah di masjid serta surau serta menjauhkan diri terlibat dengan politik kepartian.

“Mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen ini disaran tidak memohon tauliah di negeri ini.

“Tauliah Mais adalah tanggungjawab, bukan kelebihan yang boleh diguna pakai sesuka hati,” ujarnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.