ad
AGENDA

Putra Heights: Kes diklasifikasi NFA, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa

2 Jul 2025, 11:02 AM
Putra Heights: Kes diklasifikasi NFA, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis mengklasifikasikan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) susulan hasil siasatan jenayah yang tidak menemukan sebarang unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagaimanapun sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu dijumpai, pihaknya komited untuk meneruskan semula siasatan berhubung kejadian tersebut.

“Kita berpuas hati dan menutup kes ini buat masa ini, namun ia boleh dibuka semula pada bila-bila masa sekiranya terdapat maklumat baharu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam.

Hussein turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkannya kepada polis.

Kelmarin, beliau mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang boleh menyebabkan kerosakan pada paip gas sehingga mencetuskan letupan dalam insiden di Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April lalu.

Menurutnya, rumusan tersebut diperoleh hasil siasatan teknikal susulan letupan saluran paip gas bawah tanah terbabit.

Katanya pembinaan lot kedai pejabat dan kerja penggantian paip pembetung di kawasan kejadian dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.