ad
AGENDA

Tourism Selangor sedia geran RM300,000, rancak kempen TMS2025

2 Jul 2025, 10:44 AM
Tourism Selangor sedia geran RM300,000, rancak kempen TMS2025

SHAH ALAM, 2 JULAI: Tourism Selangor menyediakan geran pelancongan berjumlah RM300,000 bagi menyokong penganjuran program sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Yee Ling berkata, permohonan dibuka mulai 1 Julai hingga 31 Oktober kepada entiti seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Penyediaan geran terbahagi kepada tiga kategori iaitu Geran Surprising Selangor sebanyak RM30,000, Geran Splendid Selangor (RM20,000) dan Geran Discover Selangor (RM10,000).

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa, mempromosikan produk utama pelancongan negeri serta mencapai matlamat TMS2025,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kertas cadangan penganjuran program pelancongan merangkumi pelbagai sektor yang dikemukakan pemain industri untuk permohonan geran.

“Cadangan paling banyak diterima melibatkan penganjuran aktiviti sukan pelancongan, antaranya sukan pickleball yang semakin popular, termasuk maraton, berbasikal dan mendaki.

“Melalui geran ini, kami ingin menggalakkan lebih ramai pihak berkepentingan menyokong agenda pelancongan negeri serta menjadikan Selangor destinasi pilihan ramai,” ujarnya lagi.

Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan jumlah transaksi mencecah RM11.7 bilion sempena TMS2025.

Kempen TMS2025 menyasarkan lebih 60 program dan acara dengan promosi memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.