SEREMBAN, 2 JULAI: Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal dekat sini pada 4.53 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.
“Bertindak atas maklumat itu, polis dan bomba ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mayat merupakan ahli keluarga terdiri daripada lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata pemeriksaan forensik menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.
“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan ketika kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
- BERNAMA