Oleh Ufairah Tarmidzi
HULU LANGAT, 1 JULAI: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) bagi memperkukuh ekosistem bekalan air alternatif untuk pembangunan CCSB di Pulau Indah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemeteraian MoC itu mencerminkan semangat kerjasama strategik dan perancangan berwawasan dalam pembangunan negeri sekali gus menarik minat pelabur dalam dan luar negara.
“Selain pelaksanaan penyelesaian bekalan air alternatif di kawasan perindustrian di Pulau Indah, MoC hari ini turut meneroka Pelan Penyahgaraman Air Laut yang akan digunakan oleh Central Spectrum dan Air Selangor.
“Kita akan menilai projek ini dari segi kos dan kecekapan, jika projek ini berjaya dilaksanakan, terutamanya Pelan Penyahgaraman Air Laut, ia berpotensi dijadikan model bagi kawasan pesisir pantai Selangor yang luas serta boleh digunakan untuk perkhidmatan yang memerlukan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani dua MoC bersama dua lagi rakan strategik iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) di Loji Rawatan Air Langat 2 di sini, hari ini.
[caption id="attachment_708013" align="alignnone" width="988"] Loji Rawatan Air Langat 2, Hulu Langat yang dirakam pada 1 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Mohd Zapi Abdullah berkata beliau yakin dengan kepimpinan teknikal Air Selangor serta komitmen pihaknya dalam aspek pembiayaan yang mampu mewujudkan sistem bekalan air yang kukuh bagi memenuhi keperluan masa depan Pulau Indah.
[caption id="attachment_708018" align="alignleft" width="347"] Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Mohd Zapi Abdullah[/caption]
“Paip Air Selangor di Pulau Indah ketika ini hanya cukup untuk pembangunan sedia ada namun untuk pembangunan Central Spectrum dengan berbaki 1,000 ekar lagi itu memerlukan 36 juta liter sehari untuk keperluan akan datang.
“Kita juga akan membentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada lapan jurutera iaitu empat dari Air Selangor dan empat lagi dari Central Spectrum untuk membuat kajian menyeluruh bagi kecekapan sumber air menjelang 2028 nanti,” katanya.
Tambah Mohd Zapi, kerjasama itu bertujuan membangunkan bekalan air alternatif dan menyokong pembangunan jangka panjang Pulau Indah dengan memastikan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti tinggi untuk penduduk dan industri di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga berharap dengan sokongan kewangan dari CSSB serta komitmen Air Selangor menerusi sumbangan kepakaran teknikal mampu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan terkemuka.