ad
BERITA UTAMA

Catat 6.3 peratus KDNK, Selangor kukuh kedudukan sebagai hab industri

1 Jul 2025, 7:00 PM
Catat 6.3 peratus KDNK, Selangor kukuh kedudukan sebagai hab industri
Catat 6.3 peratus KDNK, Selangor kukuh kedudukan sebagai hab industri
Catat 6.3 peratus KDNK, Selangor kukuh kedudukan sebagai hab industri

SHAH ALAM, 1 JULAI: Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama negara, dengan mencatat 6.3 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu.

Menurut laporan KDNK 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor merekodkan KDNK berjumlah RM432.1 bilion pada tahun lalu dan menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK nasional.

“Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar sebanyak 61.1 peratus kepada KDNK, berkembang 6.3 peratus.

“Ini disokong oleh subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang meningkat 6.7 peratus, serta subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan sebanyak 4.6 peratus.

“Ia mencerminkan peningkatan berterusan dalam permintaan pengguna dan aktiviti berkaitan pelancongan,” kata pejabat ketua perangkawan menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut laporan itu lagi, penyumbang kedua terbesar Selangor adalah sektor pembuatan iaitu 29.1 peratus, bertumbuh 5.1 peratus, didorong beberapa subsektor utama seperti elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam.

Dalam pada itu, DOSM melaporkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu, meningkat daripada 3.5 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah berjumlah RM1.65 trilion.

“Sektor perkhidmatan kekal mendominasi ekonomi negara dengan 59.4 peratus, berkembang 5.3 peratus berbanding tahun 2023.

“Penyumbang tertinggi KDNK seterusnya iaitu sektor pembuatan dan sektor pertanian masing-masing turut meningkat 4.2 peratus dan 3.1 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.7 peratus dan 0.2 peratus pada tahun sebelum,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.