ad
AGENDA

KUSEL komited pastikan kerja utiliti di Putra Heights ikut piawaian

1 Jul 2025, 10:36 AM
KUSEL komited pastikan kerja utiliti di Putra Heights ikut piawaian

SHAH ALAM, 1 JUL: Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) memberi jaminan untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan kerja utiliti di kawasan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya mematuhi piawaian.

Dalam kenyataan hari ini, agensi itu berkata pihaknya mengambil maklum hasil siasatan terperinci polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia berhubung kejadian pada 1 April lalu.

“Pasukan KUSEL turut hadir di lokasi sejak hari pertama kejadian bagi mengumpul maklumat, memberi kerjasama penuh serta memastikan dokumen dan bukti lengkap untuk siasatan yang dimuktamadkan pada 26 April,” menurut kenyataan itu.

KUSEL turut menegaskan komitmen berterusan dalam menyelaras laluan utiliti di Selangor dengan penuh integriti, mematuhi garis panduan perancangan dan mempertingkat kawalan pemantauan demi keselamatan rakyat serta kelangsungan pembangunan negeri.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan tiada unsur sabotaj, khianat atau kecuaian dikesan dalam insiden tersebut.

KUSEL turut memaklumkan bahawa semakan mendapati kerja-kerja utiliti dan pembangunan di lokasi dilaksanakan mengikut prosedur serta garis panduan sedia ada.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjalankan siasatan menyeluruh sejak hari pertama kejadian,” katanya.

Selangor hasrat menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencadangkan pembaharuan undang-undang susulan pembentangan laporan punca letupan Putra Heights, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin menjelaskan jawatankuasa bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri yang turut melibatkan Petronas menilai tatacara kelulusan kebenaran merancang.

Letupan saluran paip gas pada 1 April menyebabkan kebakaran dengan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius sebelum berjaya dipadamkan hampir lapan jam kemudian.

Insiden itu turut mengakibatkan kawah sedalam 9.8 meter dengan keluasan 21 x 24 meter serta menjejaskan ratusan rumah di kawasan sekitar.

Sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah, 57 terkesan tanpa kebakaran, manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.