ad
AGENDA

Sultan berkenan jenamakan semula UPM kampus Bintulu jadi UPMS

30 Jun 2025, 9:04 PM
Sultan berkenan jenamakan semula UPM kampus Bintulu jadi UPMS
Sultan berkenan jenamakan semula UPM kampus Bintulu jadi UPMS

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Sultan Selangor berkenan mengisytihar penjenamaan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), bersempena 50 tahun penubuhan institusi pengajian tinggi itu.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, langkah strategik itu bagi memperkukuh lagi peranan kampus berkenaan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, sekali gus mengangkat peranannya sebagai pemangkin pembangunan negara, khususnya di Sarawak dan antarabangsa.

"Beta amat berbangga dengan pencapaian UPM Kampus Bintulu yang bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan, tetapi turut berdaya saing di peringkat antarabangsa," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut berharap usaha ini dapat melahirkan graduan profesional yang menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara, sejajar dengan pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM.

[caption id="attachment_707846" align="alignnone" width="869"] Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada 30 Jun 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Openg menyifatkan penjenamaan semula ini sebagai simbol bermakna dan komitmen Kerajaan Persekutuan memperkasa pendidikan tinggi di seluruh negara termasuk Borneo.

"Sarawak sentiasa komited dalam memajukan bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik yang selari dengan keperluan Sarawak dan aspirasi pembangunan lestari," katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) bersama UPM Sarawak, sebagai usaha menyokong aspirasi keterjaminan makanan.

"SVAS ini merupakan model pertama melibatkan kerjasama Kerajaan Sarawak dan universiti awam dalam melahirkan pakar veterinar. Untuk itu, Kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana berpanjangan bagi memastikan kemampanan SVAS," jelasnya.

Tambah Abang Johari, penubuhan sekolah ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar, sekali gus memperkukuh kelestarian industri ternakan serta peningkatan tahap kesihatan haiwan di Sarawak.

Selain itu, menurutnya, penjenamaan ini juga dilihat seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh diperbaharui.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.