ad
AGENDA

JKKP: Tanah lemah tidak sokong struktur paip punca insiden kebakaran

30 Jun 2025, 8:32 PM
JKKP: Tanah lemah tidak sokong struktur paip punca insiden kebakaran
JKKP: Tanah lemah tidak sokong struktur paip punca insiden kebakaran

SHAH ALAM, 30 JUN: Keadaan tanah yang lemah hingga tidak menyokong sepenuhnya struktur paip bawah tanah merupakan punca berlakunya kebocoran dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Pengarah bahagian keselamatan petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berkata hasil siasatan pihaknya mendapati paip gas memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan namun bahagian bawahnya dikenal pasti tidak disokong sepenuhnya pada tanah.

“Keadaan ini menyebabkan pergerakan berulang pada paip (cyclic loading), menghasilkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) yang akhirnya membawa kepada kegagalan fizikal (physical failure).

“Kegagalan paip ini bukan berpunca daripada sebarang aktiviti pembinaan di permukaan tanah tetapi kelemahan struktur tanah di bawah paip itu sendiri yang tidak mampu menampung berat dan tekanan paip dalam jangka masa panjang,” kata Husdin Che Amat.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan siasatan insiden tersebut di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_707838" align="alignnone" width="1047"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media laporan siasatan insiden kebakaran Putra Heights di Bilik Gerakan Bangunan Annex pada 30 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Husdin menambah siasatan menyeluruh telah dijalankan JKKP dengan kerjasama agensi teknikal lain selama tiga bulan bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

“Proses ini melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan ke atas komponen paip gas, serta pengambilan sampel untuk dianalisis di makmal,” katanya lagi.

Tegasnya, keselamatan awam adalah keutamaan dan pihaknya akan terus memantau aspek keselamatan infrastruktur kritikal bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Kejadian yang berlaku bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, malah turut merosakkan infrastruktur serta menyebabkan gangguan bekalan gas dan elektrik di beberapa kawasan sekitar.

"Kesimpulannya, insiden yang berlaku berpunca daripada faktor geoteknikal dan bukannya kecuaian teknikal atau pelanggaran garis panduan pembinaan," ujarnya.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Susulan insiden itu sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.