KUALA LANGAT, 30 JUN: Penduduk sekitar Kuala Langat diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak individu membuang sampah secara haram.
Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata seruan itu selepas pihaknya mendapati daerah berkenaan kerap menjadi kawasan tumpuan pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“KDEBWM dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sudah banyak kali cuba membanteras buat penguatkuasaan… sampah tetap dibuang tanpa ambil kira betapa teruknya kawasan tanah persendirian ditukar menjadi tapak pelupusan sampah mini.
“Ini merupakan cabaran yang agak berat untuk kami dan MPKL nak selesaikan, sebab ia melibatkan skala besar sehingga dua ke tiga ekar dijadikan tapak pelupusan sampah haram,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pelancaran Lori Kompaktor dan Imej Baharu KDEBWM di ibu pejabat MPKL di sini, hari ini.
[caption id="attachment_707795" align="alignnone" width="1003"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management Dato' Ramli Mohd Tahir dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Mohd Hasry Nor Mohd S.M.S serta Ahli Majlis bergambar bersama lori kompaktor ketika majlis pelancaran Lori Kompaktor Dan Imej Baharu KDEB Waste Management Bagi Kerja-Kerja Kutipan Sisa Domestik Di Bawah Pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Ibu Pejabat MPKL, Kuala Langat pada 30 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Ramli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.
“Saya berharap orang tidak bertanggungjawab ini sekiranya dapat ditangkap pihak berkuasa mereka akan dikenakan kompaun dan hukuman setimpal,” katanya.