ad
AGENDA

ECERDC rekod pelaburan direalisasi RM6.4 bilion, wujud 2,800 pekerjaan

30 Jun 2025, 3:44 PM
ECERDC rekod pelaburan direalisasi RM6.4 bilion, wujud 2,800 pekerjaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata ECERDC juga berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu setakat ini.

"Dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri mesyuarat ECERDC bagi meneliti kemajuan semasa petunjuk utama koridor ekonomi itu selain membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang sedang giat disediakan kerajaan.

Anwar berkata perencanaan kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan lapan projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan siap pada tahun ini.

"Saya telah tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur, termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan.

"ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa," kata beliau.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.