ad
AGENDA

Inisiatif buru ikan asing berhasil, populasi di Denai Sungai Kebangsaan turun 80 peratus

29 Jun 2025, 9:15 PM
Inisiatif buru ikan asing berhasil, populasi di Denai Sungai Kebangsaan turun 80 peratus
Inisiatif buru ikan asing berhasil, populasi di Denai Sungai Kebangsaan turun 80 peratus

SHAH ALAM, 29 JUN: Program tangkapan ikan bandar raya atau pleco yang diperkenalkan Kerajaan Selangor berjaya mengurangkan populasi ikan pemangsa itu sehingga 80 peratus di Denai Sungai Kebangsaan, Bangi.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar berkata inisiatif yang menawarkan RM1 bagi sekilogram tangkapan membuahkan hasil memberangsangkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu sekali gus mengembalikan semula hasil nelayan darat.

“Alhamdulillah memang tunjukkan kejayaan. Kita buat penumpuan di Denai Sungai Kebangsaan kerana kita tidak mahu apabila kita buat di banyak tempat, nanti apabila dibiarkan ia akan membiak banyak lagi.

“Di Denai Sungai Kebangsaan memang ada pengurangan yang ketara. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya ketika diwawancara Media Selangor, baru-baru ini.

Noraisyah berkata program tangkapan ikan bandar raya akan diteruskan pada Julai atau Ogos depan dengan tumpuan akan dibuat di Sungai Buloh dan beberapa lokasi lain.

[caption id="attachment_707653" align="aligncenter" width="692"] Ikan bandar raya atau pleco yang ditangkap di sekitar Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat, Bangi pada 1 SEPTEMBER 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Pada September tahun lalu, program berkenaan dilaksana di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat dan berjaya mendaratkan 4,467 kilogram ikan pleco dengan membabitkan penyertaan lebih 100 orang.

Siri kedua tangkapan ikan pleco kemudiannya diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di anak Sungai Kuyoh, dekat Seri Kembangan pada Disember lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemancing.

Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif tangkapan ikan bandar raya sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban kerana menebuk lubang untuk bertelur.

Pembiakan tidak terkawal ikan berkenaan turut menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.