ad
AGENDA

Iran tubuh pasukan khas dakwa Israel, AS atas jenayah perang

29 Jun 2025, 7:45 PM
Iran tubuh pasukan khas dakwa Israel, AS atas jenayah perang

TEHRAN, 29 JUN: Naib Presiden Iran bagi Hal Ehwal Undang-Undang Majid Ansari mengumumkan penubuhan kumpulan kerja khas untuk mengendalikan kes berkaitan pencerobohan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran di forum antarabangsa.

Menurut Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), Majid Ansari membuat pengumuman itu dalam satu perutusan pada Sabtu sambil mengucapkan tahniah dan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Republik Islam baru-baru ini.

Beliau berkata kumpulan kerja khas itu akan mengendalikan aspek undang-undang berkaitan serangan terang-terangan rejim Israel terhadap Iran.

Ansari menjelaskan keputusan menubuhkan kumpulan itu yang terdiri daripada pakar terkenal dan peguam terkemuka dibuat bagi meneliti secara menyeluruh bukan sahaja pencerobohan ketenteraan yang menyebabkan pembunuhan pegawai tertinggi tentera, saintis dan rakyat tetapi juga terhadap pelanggaran kedaulatan dan integriti wilayah negara itu.

Dalam mesejnya, Ansari menekankan keperluan mendokumentasikan secara tepat pencerobohan dan jenayah perang oleh Israel-AS, sambil berkata kerajaan akan menggunakan semua kapasiti undang-undang untuk mempertahankan hak rakyat Iran.

“Kumpulan kerja ini, dengan kerjasama agensi berkaitan, akan menyiasat serangan ke atas kemudahan nuklear aman yang melanggar statut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa serta jenayah perang yang dilakukan dengan menyerang kawasan kediaman, selain infrastruktur pendidikan, perubatan, media dan perkhidmatan awam,” katanya.

Pada 13 Jun, Israel melancarkan serangan ke atas Iran, membunuh sekumpulan pegawai tertinggi tentera, profesor dan orang awam, sekali gus mencetuskan peperangan.

Amerika Syarikat turut menyertai pencerobohan itu dengan menyerang tiga kemudahan nuklear – Fordow, Natanz dan Isfahan.

Selepas 12 hari pencerobohan musuh dan serangan balas oleh Angkatan Bersenjata Iran, Israel terpaksa mengumumkan gencatan senjata.

- BERNAMA-IRNA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.