ad
PBT

MPAJ arah premis vape turun iklan, tindakan tegas jika gagal patuh

29 Jun 2025, 5:29 PM
MPAJ arah premis vape turun iklan, tindakan tegas jika gagal patuh
MPAJ arah premis vape turun iklan, tindakan tegas jika gagal patuh

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengarahkan 126 premis perniagaan rokok elektronik atau vape menurunkan iklan sama ada di medium fizikal atau digital.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata tindakan tegas akan diambil termasuk penguatkuasaan notis pembatalan lesen (NPL) jika gagal mematuhi arahan tersebut.

"Tindakan ini diambil berikutan arahan Kerajaan Selangor yang menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap pengiklanan produk merokok, termasuk vape, bermula 20 Mei 2025.

[caption id="attachment_707676" align="alignleft" width="399"] Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari. Foto Facebook MPAJ[/caption]

"Larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok dan Kesihatan Awam (Akta 852), yang menetapkan larangan pengiklanan, promosi, dan tajaan bagi semua produk tembakau, bahan merokok, dan produk pengganti tembakau tiruan.

"Seksyen 7, 8, dan 9 akta ini dengan jelas melarang sebarang bentuk penerbitan atau promosi berkaitan produk tembakau," katanya.

Kerajaan Selangor telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan dan menyita serta-merta sebarang bentuk iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di negeri ini, sama ada di medium fizikal atau digital.

Menurut EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin, tindakan itu berdasarkan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan cadangan melarang penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri akan datang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, langkah ini susulan kebimbangan kesihatan yang semakin serius, termasuk laporan pelajar menghisap vape berhampiran kawasan sekolah.

Terengganu dan Johor antara negeri yang telah melaksanakan larangan penjualan vape lebih awal, dengan Terengganu mengumumkan larangan berkuatkuasa 1 Ogos ini manakala Johor sejak 2016.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.