ad
AGENSI

Pesta buku kanak-kanak kembali Julai ini, sasar 90,000 pengunjung hadir

29 Jun 2025, 12:01 PM
Pesta buku kanak-kanak kembali Julai ini, sasar 90,000 pengunjung hadir

SHAH ALAM, 29 JUN: Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) yang mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini akan dianjurkan buat kali ketiga dari 24 hingga 27 Julai ini.

Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata pesta empat hari di Kompleks PKNS Shah Alam itu akan melibatkan penyertaan kira-kira 100 penerbit dan penjual buku.

“Kita sasarkan kehadiran 90,000 pengunjung memandangkan sambutan menggalakkan dalam dua siri penganjuran sebelum ini. Tahun lepas sejumlah 87,000 pengunjung direkodkan.

“Pelbagai acara menarik dijalankan. Kali ini, kita fokus program mencungkil bakat sebab kita lihat program seperti itu yang kita anjurkan di PPAS mendapat sambutan antaranya Festival Kartun dan bengkel melukis.

“Jadi kita akan cungkil dan asah bakat mereka supaya mereka dapat pergi lagi jauh. Anugerah Ilustrator Yusof Gajah yang kita adakan sebelum ini akan jadi penggalak program,” katanya kepada Media Selangor.

Pada Julai 2023, Kerajaan Negeri buat julung kalinya menganjurkan SCBF sebagai inisiatif memperluaskan lagi industri buku, tidak hanya tertumpu kepada genre ilmiah, fizik dan agama semata-mata.

Tahun lalu, pesta yang berlangsung di lokasi sama menjalankan pelbagai acara menarik antaranya sambutan ulang tahun kanak-kanak selain menawar hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

Negeri ini juga sejak 18 tahun lalu turut mengadakan Pesta Buku Selangor yang dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai 2022.

Tahun lalu, pesta tersebut yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor pada 27 November hingga 3 Disember menarik sekitar 230,000 pengunjung.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.