ad
AGENDA

Tingkat ilmu rumah tangga, Jais laksana program elak perceraian

28 Jun 2025, 5:00 PM
Tingkat ilmu rumah tangga, Jais laksana program elak perceraian

SHAH ALAM, 28 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menganjurkan kursus praperkahwinan Islam (KPPI) dan program pendidikan keluarga berterusan bagi menangani peningkatan kes cerai di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kursus wajib hadir buat individu belum berkahwin itu mendedahkan tanggungjawab suami isteri, komunikasi berkesan dan pengurusan konflik.

Menurut beliau, kefahaman berkaitan asas dalam perkahwinan membantu pasangan mempersiap diri menghadapi cabaran rumah tangga.

"Jais juga melaksanakan program motivasi dan pengukuhan perkahwinan seperti seminar yang memberi fokus kepada aspek spiritual, mental dan emosi," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan kursus pascaperkahwinan dengan modul khusus disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut dilaksana berkala melibatkan empat fasa perkahwinan sejak 2017.

“Program kepimpinan remaja, memberdaya lelaki dan wanita serta pengurusan asas rumah tangga turut dianjur bagi memperkukuh hubungan suami isteri.

“Kesedaran itu perlu ada dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda. Itu antara usaha yang sedang kita buat untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Selain itu, khidmat nasihat percuma melalui pegawai khidmat nasihat di setiap pejabat agama Islam daerah turut disediakan dan pegawai berkenaan bertanggungjawab menerima aduan, memberi panduan, mengenal pasti punca masalah dan membimbing pasangan ke arah penyelesaian konflik secara harmoni.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.