ad
BERITA UTAMA

Selangor seragam proses daftar taska, garis panduan diumum dalam sidang DUN

28 Jun 2025, 3:59 PM
Selangor seragam proses daftar taska, garis panduan diumum dalam sidang DUN

SHAH ALAM, 28 JUN: Garis panduan untuk menyeragamkan syarat pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini akan diumumkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), yang dijadual bermula 7 Julai ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata peraturan baharu itu hasil penilaian rapi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) yang ditubuhkan pada November tahun lalu.

“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini khusus untuk kita lihat atau menyeragamkan syarat pusat jagaan, terutamanya taska. Ini kerana syarat ini berbeza mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam rekod pemutihan taska kami, pada akhir tahun lepas kira-kira 100 lagi taska belum berdaftar dan yang terkini hanya berbaki 40 lagi taska belum berdaftar,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri Konvensyen Wanita Selangor yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Pada November tahun lalu, Kerajaan Selangor menubuhkan JKPPP untuk menyemak, menilai serta menambah baik undang-undang berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri itu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze itu bertujuan memberi tumpuan bagi menambah baik garis panduan serta peraturan berkenaan penjagaan kanak-kanak di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.