OLEH SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM
SHAH ALAM. 28 JUN: Segelintir mangsa dikhianati cenderung memilih untuk melondehkan aib pasangan selingkuhnya dengan menularkan bahan-bahan memalukan ke media sosial bagi meluahkan emosi dan meraih simpati masyarakat.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa'ad berkata platform itu memberi ruang bebas untuk mengadu meskipun perbuatan tersebut ditegah dalam Islam.
Menurutnya, luahan masalah rumah tangga di ruang digital itu demi mencari 'keadilan' melalui khalayak maya.
"Perbuatan itu juga dilakukan kerana tekanan emosi. Seseorang mungkin hilang kawalan dan bertindak di luar kebiasaan mereka.
"Hari ini kisah peribadi dan perceraian artis dikongsi secara terbuka. Ia sekali gus memberi isyarat tindakan sedemikian boleh diterima," katanya kepada Media Selangor, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, tindakan itu mungkin memberi kelegaan jangka pendek tetapi tidak membantu proses penyembuhan emosi mangsa malah menyukarkan proses memaafkan.
"Dari segi jangka panjang pula, ia boleh mengundang lebih banyak mudarat seperti rasa malu, konflik berpanjangan dan kesan buruk kepada anak-anak.
"Pelbagai pihak terlibat juga terdedah kepada trauma sekunder, stigma sosial dan kemungkinan tindakan undang-undang seperti saman malu atau fitnah," katanya.
Bagaimanapun Dr Fauziah berkata kemunculan orang ketiga tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi sering berpunca daripada beberapa faktor dalaman dan luaran dalam perkahwinan.
Antaranya kepuasan emosi tidak dipenuhi, masalah intimasi dan keintiman fizikal, tiada asas agama dan pengaruh media sosial sert teknologi.
"Selain itu, tekanan hidup dan bebanan kewangan juga punca munculnya orang ketiga. Kurang masa berkualiti bersama menyebabkan pasangan semakin jauh antara satu sama lain," katanya.
Justeru, beliau menasihati individu terlibat agar menyelesaikan konflik rumah tangga secara berhemah menerusi sesi kaunseling, rundingan dan saluran rasmi di mahkamah syariah.
"Isu rumah tangga perkara sensitif. Elak libatkan anak dalam konflik. Mereka mungkin keliru, berasa tidak selamat atau terhimpit jika diminta memihak kepada salah satu pihak.
"Sebaiknya, pelihara maruah walaupun dalam keadaan marah dan kecewa. Ia adalah cerminan kematangan dan kekuatan dalaman seseorang," katanya.