ad
PBT

MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas kenderaan EV di lokasi strategik, parkir awam

27 Jun 2025, 5:30 PM
MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas kenderaan EV di lokasi strategik, parkir awam
MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas kenderaan EV di lokasi strategik, parkir awam

SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan pemasangan 1,000 pengecas kenderaan elektrik (EV) di lokasi strategik dan parkir awam seluruh bandaraya itu secara berperingkat.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif itu dilaksana dalam dua fasa dengan kerjasama syarikat penyelesaian tenaga hijau bagi menyokong agenda bandar rendah karbon.

Fasa pertama menyaksikan pemasangan 500 pengecas membabitkan dua rakan strategik iaitu EV Connection Sdn Bhd dan Carput Zap Network Sdn Bhd.

“Kedua-dua rakan strategik ini komited menyokong MBPJ merealisasikan matlamat menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar paling bahagia, lestari dan mampan.

“MBPJ menggunakan teknologi pengecasan moden yang mematuhi piawaian keselamatan, mesra pengguna dan efisien sejajar peningkatan bilangan pemilik kenderaan elektrik di lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MBPJ dan kedua-dua syarikat terbabit di Ibu Pejabat MBPJ.

[caption id="attachment_707342" align="aligncenter" width="813"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (dua, kiri) dan wakil syarikat EV Connection Sdn Bhd (dua, kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pemasangan pengecas kenderaan EV dalam satu majlis di Bilik Gerakan ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Jun 2025. Foto Majlis Bandaraya Petaling Jaya[/caption]

Tambah Mohamad Zahri, langkah itu seiring aspirasi nasional ke arah peralihan kepada mobiliti rendah karbon dan perbandaran hijau.

“MBPJ beriltizam memperluaskan akses kemudahan ini di seluruh Petaling Jaya agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk setempat.

“Usaha ini diharap mengukuhkan peranan Petaling Jaya sebagai peneraju mobiliti hijau di peringkat tempatan dan nasional,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.