SEPANG, 27 JUN: Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan susulan kes penuntut universiti yang ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Cyberjaya, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata tangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 20 tahun itu dibuat semalam dan awal pagi tadi antara 9 pagi hingga 2 pagi.
"Tangkapan dibuat di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, dalam masa 48 jam setelah laporan polis diterima.
"Kesemua yang ditahan dipercayai mengenali mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat pagi ini di Mahkamah Sesyen di sini bagi membantu siasatan.
Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sementara itu, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman hingga 3 Julai itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang Azaraorani Abdul Rahman.
Difahamkan suspek tiba di pekarangan mahkamah pada 8.30 pagi dan dibawa keluar kira-kira 9.45 pagi.
- BERNAMA