ad
BERITA UTAMA

Tumpahnya air mata penghafal al-Quran hayati surah azab neraka

27 Jun 2025, 12:42 PM
Tumpahnya air mata penghafal al-Quran hayati surah azab neraka
Tumpahnya air mata penghafal al-Quran hayati surah azab neraka

Ketika rakan sebayanya memilih untuk menikmati waktu muda, berbeza pula dengan Muhammad Imran Hussin, 23. Qari dari Banting, Kuala Langat itu nekad naik pelamin pada Ogos tahun lalu demi menjaga hafalan al-Quran.

Dia cukup terkesan dengan kisah Imam Syafie. Sebahagian hafalan al-Quran beliau hilang daripada ingatan hanya kerana tidak sengaja terlihat betis seorang wanita.

Sebagai huffaz, dia menyedari ada batas pergaulan dan setiap pandangan harus dijaga. Malah sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengekalkan hafalan al-Quran kerana ia adalah rukun muraja’ah.

“Kalau Imam Syafie pun boleh kehilangan sebahagian hafalannya apatah lagi saya. Jadi salah satu cara jaga (batas) pergaulan, saya beritahu emak ayah saya nak kahwin. Alhamdullilah mereka izinkan atas sebab saya nak jaga hafazan.

“Memang tidak dinafikan dunia sekarang amat mencabar. Namun sebagai manusia apabila kita terlihat perkara tidak sepatutnya, kita kena cepat-cepat istighfar,” katanya kepada Media Selangor.

Johan kategori hafazan 20 juzuk sempena tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2025/1445H itu minat menghafaz sejak kecil selepas mengagumi kesungguhan tiga abangnya yang turut bergelar huffaz.

Semangat untuk mengikut jejak adik-beradiknya itu semakin membuak-buak apabila anak kepada pasangan guru itu dihantar bersekolah di Maahad Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor ketika usia 13 tahun.

Namun pada hari pertama di sana, hatinya tiba-tiba goyah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran ketika itu.

“Bila saya lihat mushaf al-Quran, bukankah tebal? Jadi, saya tanya kawan-kawan senior, boleh ke nak hafal satu al-Quran tebal begini. Macam mustahil sahaja.

“Mereka beritahu awal-awal pun ada perasaan sama tetapi bila dah hafal, Alhamdullilah lama-lama jadi mudah. Kita rasa susah sebab kita tak buat hafalan lagi. Bila dah mulakan jadi senang,” katanya.

Berkat dorongan keluarga, guru dan rakan-rakan, anak keenam daripada tujuh beradik itu berjaya menghafal satu muka surat juzuk 30 dalam tempoh 30 hingga 40 minit pada hari pertama pembelajaran.

Sukatan pelajaran digunakan di sekolah itu bukan sekadar hafalan tetapi turut menterjemah dan menulis ayat al-Quran. Kaedah itu amat membantunya mengingat dengan lebih cepat.

[caption id="attachment_707320" align="alignleft" width="375"] Muhammad Imran Hussin dan isteri selepas dinobat sebagai johan kategori hafazan 20 juzuk ketika Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan 2025/1445H di Kangar, Perlis pada 2 Mei 2025. Foto Muhammad Imran Hussin[/caption]

Tersentuh hati

Bakal menimang cahaya mata pada Ogos nanti, Muhammad Imran mengakui hatinya mudah tersentuh apabila mengetahui makna setiap ayat yang cuba dihafaz.

Antaranya Surah Saba, ayat 35 hingga 37 yang menceritakan kesombongan golongan kaya sedangkan ia berlaku dengan kehendak Allah. Malah nikmat itu boleh hilang bila-bila masa dikehendaki-Nya.

Bukan itu saja, dia juga pernah melalui fasa kecewa ketika berdepan kesukaran menghafaz terutama membabitkan surah mencabar antaranya berkaitan hukum-hakam.

“Banyak kali (menangis) sebab bila baca maksud ayat al-Quran terutama mengenai azab sebabkan saya berfikir kita sebenarnya tiada apa-apa di dunia. Semuanya sekadar pinjaman.

“Ayat tentang hukum atau faraid juga mencabar bagi saya. Bukan sahaja nak menghafal, bahkan nak mengulang pun dah susah. Masa itu saya macam patah hati,” katanya.

Namun, cabaran dilontarkan guru tahfiznya mendorong Muhammad Imran kembali bersemangat. Berkat kesungguhan, dia berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk selama tiga tahun empat bulan ketika berusia 16 tahun.

Mengimbau detik sebagai qari, Muhammad Imran mendedahkan mula menyertai tilawah al-Quran ketika berusia 14 tahun. Sejak itu dia tidak pernah terlepas mengambil bahagian.

Pada 2016 hingga 2020, dia bertanding bagi kategori 10 juzuk sebelum beralih kepada 20 juzuk. Usahanya tidak sia-sia. Muhammad Imran muncul johan peringkat kebangsaan dua kali manakala di bahagian Negeri pula empat kali.

Berkongsi petua kuatkan ingatan, graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan itu hanya mengamalkan makanan kegemaran nabi dan elakkan pengambilan organ dalaman.

“Makanan salah satu faktor untuk kuatkan ingatan. Saya amalkan makanan sunah seperti kurma dan madu, kismis pun boleh. Makan organ dalaman saya elakkan.

“Makanan ada penambah perasa, snek, mi segera juga saya kurangkan. Boleh makan tapi cuma sekali sekala bila teringin,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.