ad
AGENSI

SME Corp, SHRDC bekerjasama kembang usahawan PKS berpontesi tinggi

27 Jun 2025, 12:27 PM
SME Corp, SHRDC bekerjasama kembang usahawan PKS berpontesi tinggi

SHAH ALAM, 27 JUN: SME Corp Malaysia (SME Corp) menjalin kerjasama perkongsian strategik dengan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bagi mengembangkan perniagaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berpontensi tinggi.

SME Corp berkata usahasama membabitkan penganjuran Seminar Inovasi dengan tema “Future Ready SMEs: The Power of Innovation” kepada 70 peniaga PKS dari pelbagai sektor di Platinium Sentral, semalam.

“Seminar bertujuan menyokong PKS tempatan dalam mengamalkan strategi yang diterajui inovasi untuk meningkatkan produktiviti, daya saing dan kesediaan untuk pengembangan global.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada agenda SME Corp untuk transformasi PKS tempatan daripada perusahaan bersaiz kecil kepada sederhana dan meningkatkan jangkauan pasaran mereka sehingga ke luar negara,” maklumnya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy memberitahu seminar bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan pendekatan bagi meningkatkan strategi inovasi.

“Dengan memupuk inovasi dalam kalangan PKS, kami harap dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada produktiviti negara dan memastikan pertumbuhan mampan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif,” ujarnya.

Pada masa sama, Pengarah Eksekutif SHRDC Teh Sook Ling memaklumkan pihaknya menyediakan latihan bagi membangunkan peniaga PKS yang berkemahiran tinggi, inovatif dan mampu menyokong peralihan ke dalam ekonomi digital.

Kenyataan sama menambah seminar seterusnya akan diadakan pada bulan Julai dan Ogos depan di Kuala Lumpur.

Peniaga PKS yang berminat menyertai seminar ini boleh melayari laman sesawang www.smecorp.gov.my untuk maklumat lanjut.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.