SHAH ALAM, 27 JUN: Pengukuhan sistem perundangan syariah dengan memperkenal hukuman lebih tegas terhadap orang ketiga yang menjadi punca keruntuhan rumah tangga wajar dilaksana demi melindungi institusi kekeluargaan.
Peguam syarie dan perunding perundangan Islam berkata, usaha berkenaan menerusi tambahan peruntukan baharu berasaskan konsep ta'widh (kos kerugian sebenar) dalam enakmen jenayah syariah.
Menurut Fahmi Ramli, konsep tersebut menyentuh soal pampasan atau denda atas kerugian dialami individu akibat gangguan rumah tangga.
[caption id="attachment_707305" align="alignleft" width="344"] Peguam Syarie dan Perunding Perundangan Islam Fahmi Ramli[/caption]
"Sepanjang 11 tahun mengendalikan pelbagai kes perceraian, gangguan pihak ketiga antara alasan paling kerap dikemukakan dalam permohonan cerai.
"Sudah tiba masanya enakmen jenayah syariah diperkukuh menerusi penambahan peruntukan baharu berasaskan konsep ta’widh demi melindungi individu terlibat," katanya kepada Media Selangor.
Fahmi menjelaskan konsep ta’widh dalam fikah muamalat boleh diperluas ke bidang fikah munakahat (perkahwinan) sebagai bentuk hukuman atau denda bagi memberi pengajaran kepada orang ketiga.
Menurut beliau lagi, pindaan enakmen berkenaan boleh dilakukan sama seperti di peringkat sivil dan pengadu juga perlu menyimpan segala bukti relevan bagi memudahkan proses perundangan.
"Walaupun dalam Seksyen 32, 33 dan 34 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 ada memperuntukkan hukuman tertentu, jika ada ta'widh mungkin ramai akan takut.
"Ini kerana ia ibarat denda terhadap perkara yang boleh menyebabkan kerugian terhadap satu pihak. Buat pindaan masukkan ta'widh, jadikan satu jenayah kepada orang buat kacau ganggu itu," katanya.