ad
BERITA UTAMA

Tujuh mushaf era khalifah Uthman hapus masalah beza bacaan al-Quran

27 Jun 2025, 11:00 AM
Tujuh mushaf era khalifah Uthman hapus masalah beza bacaan al-Quran
Tujuh mushaf era khalifah Uthman hapus masalah beza bacaan al-Quran

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar mengambil alih kepimpinan umat Islam. Tercetus peristiwa besar apabila sebahagian besar bangsa Arab murtad. Beliau pun mempersiap tentera untuk memerangi golongan murtad.

Dalam peperangan menentang penduduk Yamamah, ramai dalam kalangan para sahabat yang mahir membaca al-Quran telah syahid. Umar bin al-Khattab pun menemui Abu Bakar dan mencadangkan supaya al-Quran ditulis kerana bimbang berlaku kehilangan.

Abu Bakar pada awalnya menolak. Beliau berat hati untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Baginda wafat dalam keadaan al-Quran dihafal serta ditulis di atas pelepah tamar, tulang haiwan dan seumpamanya. Ia belum pernah dikumpulkan dalam satu mushaf. Semasa Rasulullah hidup, sebarang perselisihan, sahabat boleh bertanya terus kepada aginda.

Umar terus memujuk Abu Bakar sehingga Allah melapangkan hati beliau. Abu Bakar pun memanggil Zaid bin Thabit kerana beliau dikenali dengan kemahiran membaca, menulis, menghafaz, kefahaman dan kebijaksanaannya. Abu Bakar menyampaikan cadangan Umar kepadanya, dan Zaid juga pada awalnya berasa berat untuk menerimanya. Namun, akhirnya mereka bersetuju dan Zaid memulakan tugasan besar itu.

Zaid menjalankan tugasnya dengan berpandu kepada hafazan para sahabat dan salinan tulisan yang dimiliki mereka. Lembaran-lembaran al-Quran yang telah dikumpulkan itu kekal berada di sisi Abu Bakar sehinggalah beliau wafat.

Selepas kewafatan Abu Bakar, lembaranlembaran itu berada dalam jagaan Umar, dan kekal bersamanya sehingga beliau meninggal dunia. Setelah itu, ia berada di sisi Hafsah, anak perempuan Umar, untuk suatu tempoh dalam pemerintahan Uthman, sehinggalah Uthman meminta Hafsah menyerahkannya.

[caption id="attachment_692086" align="alignnone" width="1032"] Kaum muslimat membaca Al-Quran sempena Hari Nuzul Quran pada hari ke 17 Ramadan 1446H di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 18 March 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Pengumpulan oleh Uthman

Al-Quran diturunkan dalam tujuh bentuk bacaan (tujuh huruf), Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Jibril membacakan al-Quran kepadaku dengan satu huruf. Lalu aku terus memintanya agar ditambah, dan dia terus menambahkannya kepadaku sehingga ia berakhir kepada tujuh huruf." (Riwayat al-Bukhari)

Baginda mengizinkan setiap seorang daripada sahabatnya untuk membaca al-Quran mengikut bacaan yang mereka terima. Ketika itu, tidak berlaku perbezaan antara mereka sehingga memerlukan larangan terhadap perkara itu. Kalau ada perbezaan pun hanya sedikit. Apatah lagi, bilangan para sahabat tidak ramai jika dibandingkan dengan generasi selepas mereka. Kewujudan Rasulullah SAW dalam kalangan mereka yang menjadi tempat rujukan tidak menjadikan itu bermasalah.

Oleh itu, pada zaman Abu Bakar dan Umar, belum timbul keperluan untuk lebih daripada sekadar mengumpulkan al-Quran tanpa susunan antara surah-surahnya, dan tanpa mewajibkan orang ramai untuk membaca dengan satu huruf sahaja daripada tujuh huruf yang diturunkan.

Pada zaman pemerintahan Uthman, wilayah kekuasaan Islam telah meluas, dan para qari tersebar ke seluruh dunia. Penduduk di setiap negeri pula mengambil bacaan al-Quran daripada qari yang datang kepada mereka.

Namun, bentuk bacaan yang mereka gunakan berbeza-beza mengikut huruf-huruf yang diturunkan bersama al-Quran. Maka, apabila mereka berkumpul dalam perhimpunan atau bersama-sama dalam medan peperangan, sebahagian mereka hairan terhadap perbezaan bacaan. Meski mereka menerima semua bentuk tersebut bersumber daripada Rasulullah SAW, perkara itu membuka ruang kepada timbulnya keraguan dalam kalangan generasi muda yang tidak sempat bertemu dengan Baginda.

Timbul perbincangan mengenai bacaan manakah yang paling fasih atau paling tepat, yang akhirnya boleh membawa kepada perselisihan pendapat, malah berlaku perdebatan yang tidak berkesudahan hingga tuduhan berdosa sesama sendiri. Hal sedemikian fitnah yang mesti ditangani segera.

Ketika peperangan di Armenia dan Azerbaijan yang disertai tentera dari Iraq, antara yang turut serta ialah sahabat nabi bernama Hudhaifah bin al-Yaman. Beliau melihat banyak perbezaan dalam bentuk bacaan al-Quran dalam kalangan qari. Melihat pertentangan tersebut, beliau cemas lalu segera kembali menemui Uthman dan memberitahunya apa yang disaksikannya.

Sebelum itu pun, Uthman telah mendengar berita wujudnya perbezaan dalam kalangan guru-guru yang mengajar kanak-kanak membaca al-Quran sehingga generasi muda membesar dalam keadaan berbeza-beza bacaan antara satu sama lain. Maka, para sahabat yang utama memandang serius perkara ini kerana bimbang ia boleh membawa kepada penyelewengan dan perubahan terhadap al-Quran. Justeru, mereka bersepakat menyalin semula mushaf terdahulu yang ada di sisi Abu Bakar dan menyeragamkan bacaan berdasarkan bacaan sahih.

Uthman mengutuskan surat kepada Hafsah agar menghantar mushaf tersebut kepadanya. Hafsah

menyerahkannya. Kemudian Uthman mengarahkan Zaid bin Thabit al-Ansari, Abdullah bin al-Zubir, Said bin al-‘As dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham — semua dari kalangan Quraisy — agar menyalinnya ke dalam beberapa mushaf. Uthman juga memerintahkan sekiranya berlaku perbezaan pandangan antara Zaid dan tiga tokoh Quraisy itu, hendaklah ia ditulis dengan bahasa Quraisy kerana al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka.

Mushaf al-Quran ditulis berdasarkan bacaan yang mutawatir. Setelah selesai, Uthman mengembalikan mushaf asal kepada Hafsah. Beliau kemudian mengutuskan satu mushaf ke setiap wilayah dan

mengekalkan satu salinan di Madinah — iaitu mushaf miliknya yang dikenali sebagai "al-Imam".

Uthman juga memerintahkan semua lembaran atau salinan lain yang berbeza dibakar. Dengan tindakan ini, Uthman telah melenyapkan punca perselisihan. Mushaf itu berjumlah tujuh, sesuai tujuh wilayah utama yang dihantar kepadanya: Mekah, Syam, Basrah, Kufah, Yaman, Bahrain dan Madinah.

Mushaf Uthman juga mempunyai keistimewaan dengan susunan surah seperti yang kita kenali pada

hari ini. Usaha pengumpulan berlaku pada tahun 25 Hijrah

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.