SHAH ALAM, 27 JUN: Tokok Maal Hijrah Selangor Tahun 1447/2025 menasihati golongan muda supaya mendekatkan diri dengan masjid bagi membangunkan lagi syiar Islam.
Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj berkata usaha itu juga dapat mengelakkan akidah terseleweng, memandangkan cabaran ketika ini terlalu besar dan pelbagai.
“Kalau boleh orang muda selalulah dekatkan diri ke masjid. Di rumah pun kerap mengaji al-Quran. Alhamdulillah sekarang dah nampak ramai golongan muda kerap ke masjid.
“Dahulu ramai melepak sana sini. Nampak dah perubahan tu. Negeri pun main peranan anjur program martabatkan Islam. Sudah makin banyak sekolah tahfiz dan ibu bapa kena mainkan peranan,” katanya.
Terdahulu, Tengku Ramli, 82, menerima anugerah berkenaan sempena sambutan ambang hijrah negeri. Beliau membawa pulang wang tunai RM20,000 selain sijil penghargaan dan trofi yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_707298" align="alignnone" width="803"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura kepada Tokoh Maal Hijrah Selangor Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Jun 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Ahli majlis Dewan di-Raja Selangor itu berkata anugerah berkenaan akan membangkitkan lagi semangatnya dalam memartabatkan dan memperkasa agama Islam.
Sepanjang lebih empat dekad berkhidmat, beliau memberi sumbangan besar dalam sektor korporat, perkhidmatan istana serta pembangunan hal ehwal dan pentadbiran Islam di Selangor.
Beliau pernah menjadi juruirig tentera Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1964–1980), sebelum dilantik sebagai pegawai protokol istana (1980–1982).
Dalam dunia korporat, Tengku Ramli pernah menjadi pengarah eksekutif dan pengarah urusan Kumpulan Syarikat Awam, I&P Group Sdn Bhd (1982-2008).
Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Tabung Infaq Amal Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) dari 2023 hingga kini selain dilantik ahli Majlis Agama Islam Selangor (2006-2020).
Dalam tempoh ini, Tengku Ramli aktif memberikan pandangan strategik berkaitan pentadbiran Islam, wakaf, pembangunan insan, kebajikan dan dasar agama negeri.
Selain itu, peranan beliau sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (2017–2022) turut memberi impak besar khususnya memperkukuh hala tuju pelaburan wakaf, pembangunan aset dan pengukuhan tadbir urus institusi wakaf negeri.