ad
BERITA UTAMA

Ulama terkenal dunia berkampung di Shah Alam, kupas kitab tafsir

27 Jun 2025, 9:00 AM
Ulama terkenal dunia berkampung di Shah Alam, kupas kitab tafsir
Ulama terkenal dunia berkampung di Shah Alam, kupas kitab tafsir

Seramai 18 tokoh agama termasuk lima ulama tersohor mengupas tiga kitab terpilih dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS) ke tiga di Shah Alam pada 12 hingga 19 Julai.

Sebelum ini menampilkan bekas mufti besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab pada 2023 dan 2024 sebagai tokoh utama, majlis kali ini membawa lima sarjana Islam yang rencam latar pengajian dan kepakaran. Mereka berkampung di sini.

Mereka adalah Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Dr Idris al-Fasi al-Fihri, Dr Mohammad Akram an-Nadwi, Dr Majd Makki dan Dr Adi Hidayat dijadual mengupas dua kitab karangan Imam as-Suyuti, yang meninggal dunia pada 911H/1505M.

Dalam festival sebelum ini, Dr Adi selaku profesor usul fikah menghuraikan kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali pada 2023 dan Hadis 40 tulisan Imam an-Nawawi pada tahun berikutnya.

Ribuan peserta dari kalangan umat Islam tempatan dan antarabangsa dijangka memenuhi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk bertalaqqi dengan ilmuan tersebut.

[caption id="attachment_688625" align="alignnone" width="857"] Orang awam menghadiri Program Malam Mahabbah Selangor sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 22 Februari. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam sembilan hari, ulama itu mengupas dua kitab pengajian iaitu Tafsir al-Jalalain dan Pengantar Ilmu Tafsir dalam 20 sesi daurah. Sebanyak tujuh surah pilihan ditetapkan untuk pengajian tafsir.

Sebanyak tiga sesi pengajian dijalankan setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.

“Bukan mudah dapat peluang untuk dapat menatap muka, duduk sekali mendengar ulasan-ulasan yang dibuat oleh ulama-ulama besar,” kata Pengarah FTIS Ammar Gazali pada 16 Jun.

Ilmuan tersebut bakal menghurai surah al-Fatihah, Yasin, al-Waqi’ah, al-Mulk, ar-Rahman, al-Hujurat dan al-Kahfi. Mantan dekan kuliah usuluddin, Universiti Al-Azhar Dr Abdul Fattah Al-Awari sebagai pembuka pengajian pada 12 Julai.

Selaku pensyarah fakulti tafsir di Al-Azhar, beliau dijangka mengupas naskhah Pengantar Ilmu Tafsir dalam tiga sesi. Dua hari kemudian (14 Julai), beliau dijadual membahas surah al-Waqi’ah dalam dua sesi.

Dr Idris al-Fasi al-Fihri pula diamanah untuk mentafsir surah al-Fatihah dan Yasin dalam tiga sesi daurah pada 13 Julai jam 9 pagi. Keesokannya, ulama Maghribi berusia 63 tahun itu merumuskan daurah surah al-Waqi’ah pada 8.45 malam.

Dekan dan pensyarah Kolej Islam Cambridge, Dr Mohammad Akram an-Nadwi pula akan menyampaikan syarahan surah al-Mulk dan al-Kahfi melalui tiga sesi pada 15 Julai dan 16 Julai.

Pada 17 Julai, Dr Majd Makki pula bakal memimpin daurah tafsir surah al-Rahman sebanyak tiga sesi. Keesokannya (18 Julai) Dr Adi Hidayat daripada Indonesia dijadual memimpin dua sesi daurah surah al-Hujurat sebelum membuat rumusan pada malamnya.

Sementara Dalail al-Khairat, himpunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dibaca pada setiap pagi sebelum program bermula.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.