ad
BERITA UTAMA

MBDK peruntuk lebih RM32 juta laksana 18 projek mitigasi banjir tahun ini

26 Jun 2025, 9:00 PM
MBDK peruntuk lebih RM32 juta laksana 18 projek mitigasi banjir tahun ini
MBDK peruntuk lebih RM32 juta laksana 18 projek mitigasi banjir tahun ini

KLANG, 26 JUN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperuntuk lebih RM32 juta bagi melaksana projek mitigasi banjir tahun ini, kata datuk bandarnya.

Dato’ Abd Hamid Hussain berkata peruntukan dana itu melibatkan 18 projek termasuk pembinaan kolam tadahan, perangkap sampah dan menaik taraf sistem saliran serta perparitan.

“Semua projek ini dilaksana dan dirangka untuk atasi masalah banjir antaranya tebatan banjir di Jalan Dato Dagang 1 dan Jalan Kota Raja dianggarkan RM10 juta selain kolam tadahan di Jalan Sentosa serta naik taraf sistem perparitan masing-masing libat dana RM300,000.

[caption id="attachment_707221" align="aligncenter" width="1177"] Sidang media Dato’ Abd Hamid Hussain di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 26 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Setiap projek sedang dalam pelaksanaan dan ada yang mengambil masa sehingga 12 bulan. Ada projek yang mengambil masa kerana ia bukan turapan jalan tempohnya seminggu.

“Kontraktor laksana kerja ikut waktu ditetapkan tetapi ada projek mengalami halangan seperti ada paip bawah tanah, kabel elektrik, pembentungan yang di luar pemerhatian,” katanya kepada Media Selangor.

Berikutan itu, beliau berharap dengan adanya jawatankuasa khas terdiri daripada semua agensi kerajaan yang dipengerusi EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dapat membantu tangani isu halangan lebih cepat.

Dalam pada itu, Abd Hamid memaklumkan pihaknya telah melantik kontraktor bagi menjalankan kerja pembersihan di seluruh Klang.

“Untuk pengetahuan, KDEB Waste Management (KDEBWM) dilantik MBDK untuk kerja pembersihan longkang, kutipan sampah. Namun, bagi kerja penyelenggaraan longkang monsun selebar 1.5 meter, kita telah melantik 31 kontraktor untuk laksana kerja pembersihan.

“Bagi penyelenggaran padang permainan dan kawasan rekreasi, dianggarkan 60 kontraktor dilantik untuk pemotongan rumput dan pembersihan. Setiap kontraktor ini dipantau bagi memastikan kerja dilaksana mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.