ad
AGENDA

Tujuh laporan polis diterima, kenderaan diparkir berhampiran stesen LRT Glenmarie dilanggar

26 Jun 2025, 7:31 PM
Tujuh laporan polis diterima, kenderaan diparkir berhampiran stesen LRT Glenmarie dilanggar

SHAH ALAM, 26 JUN: Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini dilanggar sebuah lori, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati kejadian 2.10 petang itu berlaku apabila pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.

Beliau berkata pemilik hanya menyedari kenderaan mereka dilanggar kenderaan dipercayai kenderaan berat sejurus pulang dari tempat kerja.

"Setakat 4.00 petang ini, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima tujuh laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

"Pegawai penyiasat kes sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kenderaan terlibat, dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial kemalangan melibatkan beberapa kenderaan yang dipercayai berlaku berhampiran Stesen LRT Glenmarie.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.