ad
AGENSI

KDEBWM perkukuh sistem dalaman, perketat penguatkuasaan, elak isu saman berulang

26 Jun 2025, 6:26 PM
KDEBWM perkukuh sistem dalaman, perketat penguatkuasaan, elak isu saman berulang
KDEBWM perkukuh sistem dalaman, perketat penguatkuasaan, elak isu saman berulang

Oleh: Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 26 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) sedang memperkukuhkan sistem dalaman syarikat melalui penguatkuasaan yang lebih ketat serta penambahbaikan kawalan operasi bagi memastikan masalah saman tertunggak tidak berulang pada masa hadapan.

Pengarah Urusannya Dato' Ramli Mohd Tahir berkata, langkah itu termasuk meminda klausa dalam kontrak, penguatkuasaan penalti serta kompaun yang lebih tegas, dan tindakan tegas terhadap vendor yang melanggar peraturan lalu lintas.

“Saya telah berbincang dengan pasukan undang-undang, operasi, dan teknikal untuk memperbaiki semua klausa, termasuk memperketat penalti dan kompaun serta mengambil tindakan lebih tegas terhadap vendor,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

[caption id="attachment_707216" align="aligncenter" width="1161"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management Dato' Ramli Mohd Tahir pada sidang media berikutan isu laporan jumlah saman JPJ terhadap KDEBWM di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 26 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Tambah beliau, pihaknya juga akan memperkemas proses pemantauan dan meningkatkan kekerapan semakan terhadap jumlah saman subkontraktor supaya tindakan segera dan tegas dapat diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan.

“Selepas ini, kami mungkin akan mendapatkan laporan saman setiap dua atau tiga minggu sekali dan menambah baik perjanjian sedia ada agar vendor lebih peka.

"Tindakan ini bagi memastikan kami dapat mengenal pasti jumlah sebenar saman yang dikenakan terhadap kenderaan KDEBWM,” katanya.

KDEBWM sebelum ini dilaporkan mempunyai 22,017 saman tertunggak sejak 2016, namun syarikat itu menyatakan hanya terdapat 14,332 saman aktif yang diakses melalui MySIKAP.

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengeluarkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan antara syarikat terbabit ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540), dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).

Beliau berkata syarikat terbabit diberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan saman tertunggak di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau cawangan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.