ad
PBT

MPSepang tutup sembilan tapak buang sampah haram, pantau lokasi panas

26 Jun 2025, 5:06 PM
MPSepang tutup sembilan tapak buang sampah haram, pantau lokasi panas

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SEPANG, 26 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengenal pasti 13 tapak pembuangan sampah haram dan tindakan sedang dijalankan untuk menutup lokasi tersebut.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang,Tuan Muhamad Shah Osmin berkata selain menutup tapak yang dikenal pasti, pemantauan berterusan dilakukan terutama di kawasan panas termasuk menangkap pelaku.

'Setakat Jun 2025, sebanyak 13 lokasi sampah haram masih aktif, manakala sembilan tapak telah ditutup sepenuhnya hasil pemantauan dan tindakan berterusan.

“Hampir setiap minggu kita menangkap orang yang melakukan pembuangan sampah secara haram, tetapi untuk memberkas dalang kegiatan ini sebenarnya amat mencabar kerana wujud keperluan proses pembuktian bagi tujuan pendakwaan dan tindakan perundangan,” katanya

Turut direkodkan 50 sitaan lori dan 70 kompaun dikenakan kepada pihak yang didapati melakukan kesalahan pembuangan haram dan setiap lori yang disita dikenakan kompaun maksimum RM2,000 mengikut peruntukan penguatkuasaan sedia ada.

Sebagai langkah pemantauan berterusan, tujuh unit kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ pembuangan tidak sah.

MPSepang turut menggesa masyarakat setempat agar lebih peka dan menyalurkan maklumat sekiranya menyaksikan sebarang aktiviti pembuangan haram.

“Orang awam dimohon untuk tampil memberi maklumat jika ada saksikan pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Majlis komited meneruskan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi memastikan kebersihan dan imej daerah Sepang terus terpelihara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.