ad
SELANGOR

KPDN Selangor periksa 1,405 premis, pantau jualan barangan asas

26 Jun 2025, 3:58 PM
KPDN Selangor periksa 1,405 premis, pantau jualan barangan asas

SHAH ALAM, 26 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa 1,405 premis di pelbagai lokasi di negeri ini semalam bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga khususnya di peringkat peruncit.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata pemeriksaan serta aktiviti advokasi itu membabitkan premis di kawasan bandar dan luar bandar antaranya di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor.

Beliau berkata pemeriksaan menerusi kempen Kita Gempur itu memfokuskan pematuhan di bawah perundangan KPDN khususnya melibatkan penjualan barangan keperluan asas pengguna antaranya minyak masak peket satu kilogram (kg), tepung gandum satu kg, gula pasir satu kg, telur ayam, sayuran, makanan dalam tin dan lain-lain barangan.

“KPDN Selangor turut memberi penekanan terhadap advokasi pematuhan penandaan tanda harga, alat timbang dan sukat, aktiviti jualan murah, pengiklanan dan lain-lain pematuhan relevan.

“Pemeriksaan ini selaras dengan peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang Sukat 1972,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Zuhairi berkata usaha KPDN Selangor menggerakkan seluruh anggota memeriksa sekurang-kurangnya 1,000 premis sehari adalah untuk memberikan mesej keberadaan pihaknya di lapangan di samping menjalankan pemeriksaan menggunakan pendekatan 'advoinspect', iaitu advokasi supaya peniaga faham dan patuh kepada peruntukan undang-undang serta pemeriksaan di premis.

Beliau berkata KPDN Selangor turut mengedar serta membantu 1,000 peniaga mempamerkan pelekat kod QR KPDN SPOT-i yang merupakan inisiatif pihaknya dalam menyediakan maklumat kepenggunaan dan panduan peniaga secara digital.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.