KUALA LUMPUR, 26 JUN: Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh pegawai khasnya Firhan Rosli dalam kenyataan hari ini.
Firhan berkata pemergian Muhammad Nur, 76, merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
"Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman," katanya.
Menurut Firhan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Muhammad Nur dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.
Pada 18 Januari lalu, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.
- BERNAMA