ad
AGENDA

KDEBWM selesai 13,000 saman JPJ, notifikasi tidak sampai punca jumlah tinggi

25 Jun 2025, 10:31 PM
KDEBWM selesai 13,000 saman JPJ, notifikasi tidak sampai punca jumlah tinggi

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 25 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil tindakan segera menyelesaikan 13,000 daripada 22,017 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebaik menerima notifikasi rasmi.

Jabatan Media dan Perhubungan Awamnya berkata, tindakan itu dilakukan selepas melakukan semakan dalaman dan menyelesaikan saman secara berperingkat.

"Mengikut prosedur JPJ, sekiranya saman tidak dijelaskan dalam masa tiga bulan, notis akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM, dengan tambahan dua bulan lagi untuk penyelesaian.

"Walau bagaimanapun, kami mengakui berlaku kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan subkontraktor, yang menyebabkan notifikasi saman tidak sampai kepada pihak kami dalam tempoh yang ditetapkan," menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Katanya, KDEBWM mengendalikan lebih 1,500 kenderaan termasuk lori kompaktor dan Roll-on Roll-off (RoRo) di seluruh Selangor, menjadikannya syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam terbesar di negara ini.

"Operasi dijalankan setiap hari tanpa henti, termasuk hujung minggu dan cuti umum, bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Dalam skala besar, sebarang statistik berkaitan jumlah saman perlulah dilihat secara holistik, sebagai contoh, dua saman bagi satu lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman dalam sebulan dan melebihi 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan jika melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari," katanya.

Tegas KDEBWM, majoriti kenderaan adalah dikendalikan oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang dilantik secara rasmi dan mereka bertanggungjawab terhadap semua saman dikeluarkan.

"Kami juga ingin menyatakan komitmen penuh dalam memperkukuh sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan subkontraktor, serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti," jelas kenyataan itu lagi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara syarikat terbabit ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540) dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).

Beliau berkata semua syarikat terbabit diberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau cawangan.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.