HULU LANGAT, 25 JUN: Universiti Islam Selangor mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 85 peratus, melibatkan siswazah yang memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Naib Canselornya Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah berkata universiti itu telah melahirkan kira-kira 31,000 graduan dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan dan perundangan syariah sejak 1998 hingga tahun lalu.
Katanya, bidang lain termasuk multimedia, komunikasi dan penyiaran, sains sosial, pendidikan, perakaunan dan pengajian Islam.
“Kebolehpasaran graduan UIS sudah capai 85 peratus. Mereka laku di pasaran kerja dan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
“Data ini diperolehi daripada pelajar setiap tahun, sebelum konvokesyen, mereka perlu jawab soal selidik antaranya melibatkan status pekerjaan mereka. Sekarang ini kita turut masukkan jenis pekerja yang pelbagai kerana ramai juga yang bekerja sendiri atau bukan dalam industri,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, setakat ini UIS sudah menjalin lebih 55 kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman dan perjanjian dengan institusi dalam dan luar negara termasuk Maldives, Morocco, Jordan, Kuwait, Indonesia dan Singapura berkait bidang penyelidikan, penerbitan dan penganjuran persidangan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu, katanya UIS komited ke arah memupuk budaya keusahawanan dan menjadi universiti keusahawanan Islam pertama di Malaysia dengan memperkasa pelajarnya bukan sahaja dalam bidang syariah dan akademik, tetapi turut disuntik dengan elemen keusahawanan.
“Saya telah meletakkan strategi untuk menjadikan universiti ini ke arah universiti keusahawanan Islam pertama di Malaysia. Kita sasar, satu keluarga, satu usahawan. Antara program yang boleh menyokong termasuklah program latihan keusahawanan berteraskan permintaan terkini seperti dalam bidang kenderaan elektrik (EV),” katanya.