PETALING JAYA, 25 JUN: Sebuah hospital kerajaan bakal dibina di Petaling Jaya bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan sekali gus mengurangkan kesesakan hospital sedia ada, kata datuk bandar Petaling Jaya.
Mohamad Zahri Samingon memaklumkan beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk pembinaan hospital tersebut dan kini menunggu ulasan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pejabat tanah Petaling.
“Kerajaan Negeri bersetuju membina sebuah lagi hospital di Petaling Jaya hujung tahun lalu dan pihak berkaitan sedang mempertimbang lokasi bersesuaian.
“Di Petaling Jaya banyak hospital swasta sahaja dan penduduk perlu pergi ke Shah Alam atau Sungai Buloh yang paling hampir. Dengan adanya hospital ini, dapat bantu ringan beban khususnya berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau ditemui pada taklimat draf Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 dan pelancaran program PJ Food With Love di Taman Aman Park di sini, hari ini.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan projek berkepentingan tinggi di negeri ini terutama hospital dan klinik disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, agensi pelaksana yang diberi tanggungjawab hendaklah memantau pembinaan itu dengan teliti selain menangani sebarang masalah dengan pantas dan cekap.
Baginda bertitah, dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu di Selangor, rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos yang mampu dan berpatutan.
Susulan itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan tiga buah hospital awam bakal dibina bagi memudahkan orang ramai mendapat khidmat kesihatan dan mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, tiga lokasi dikenal pasti adalah di Sepang, Cyberjaya termasuk di Klang yang akan mengatasi masalah kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).