PETALING JAYA, 25 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama menyediakan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 bagi memperkukuh kesejahteraan sosial penduduk.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pelan itu dirangka sebagai strategi untuk mewujudkan sistem sokongan penjagaan komuniti yang lebih menyeluruh, terutama bagi warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Petaling Jaya antara bandar terawal di Selangor yang menunjukkan peningkatan jumlah warga emas. Seramai 12.6 peratus penduduknya kini berumur lebih 65 tahun, terutama di kawasan seperti Seksyen 17, Seksyen 19, SS3, Taman Medan dan Kampung Tunku.
[caption id="attachment_707062" align="aligncenter" width="674"] Datuk Bandar Petaling Jaya (tengah) Mohamad Zahri Samingon menyampaikan sumbangan kepada penerima program "PJ Food With Love" di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Aman pada 25 Jun 2025. Foto MBPJ[/caption]
“Melihat kepada pola ini, MBPJ ambil langkah awal laksanakan beberapa program di bawah pelan tersebut, antaranya ‘PJ Food With Love’,” katanya pada majlis pelancaran draf pelan berkenaan hari ini.
Mohamad Zahri turut menyampaikan peralatan butang kecemasan kepada warga emas yang disumbangkan oleh AGECOPE Selangor.
Menurut beliau, pelan tindakan ini dijangka dimuktamadkan pada Oktober depan dan selaras dengan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dilancarkan tahun lalu.
Dasar tersebut dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, sebagai persediaan Selangor menghadapi status negeri menua apabila 8.1 peratus penduduknya kini berumur 65 tahun ke atas.
Dasar itu memberi fokus kepada lima teras utama iaitu:
1. Advokasi dan promosi
2. Tata kelola dan kawal selia
3. Latihan penjaga dan tenaga kerja
4. Pelaburan dan kerjasama
5. Inovasi, teknologi dan data
Ia merangkumi penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, OKU dan usaha memperkukuh sokongan kepada komuniti penjaga, sama ada secara formal atau tidak formal.