ad
AGENDA

Selangor rekod jualan bazar Ramadan, Aidilfitri RM700 juta, tertinggi di negara ini

25 Jun 2025, 1:31 PM
Selangor rekod jualan bazar Ramadan, Aidilfitri RM700 juta, tertinggi di negara ini

SHAH ALAM, 25 JUN: Selangor merekodkan jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri tertinggi berbanding negeri lain pada tahun ini, dengan nilai sebanyak RM700 juta membabitkan 38,811 pekerja.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata secara keseluruhan seluruh negara, jualan kedua-dua bazar itu mencatat mencatat nilai RM3.2 bilion, meningkat 12.9 peratus berbanding RM2.5 bilion pada 2024.

Menurutnya, peningkatan itu turut disokong oleh pertambahan bilangan pekerja sebanyak 17.6 peratus kepada 281,876 orang.

“Johor di tangga kedua sebanyak RM500 juta (44,525 pekerja) manakala Kuala Lumpur sejumlah RM400 juta (16,142 pekerja), yang mana ketiga-tiganya (termasuk Selangor) menyumbang 47.5 peratus daripada keseluruhan jualan negara.

“Di peringkat daerah, Johor Bahru merekodkan jualan tertinggi iaitu RM261.1 juta, diikuti Petaling (RM184.7 juta) dan Gombak (RM122 juta),” maklumnya menerusi kenyataan.

DOSM turut memberitahu Selangor kekal dominan menyumbang nilai jualan tertinggi di bazar Ramadan sebanyak RM558 juta diikuti Kuala Lumpur (RM361.9 juta) dan Johor (RM331.5 juta) dari jumlah keseluruhan RM2.6 bilion.

“Pada masa sama, bilangan pekerja bazar Ramadan meningkat ketara kepada 241,379 dengan orang. Johor mencatat angka tertinggi (37,415 orang), diikuti Selangor (32,989 orang) dan Pulau Pinang (25,515 orang),” katanya lagi.

Sementara itu, bazar Aidilfitri mencatatkan jualan RM600 juta, naik 5.1 peratus dengan Johor mendahului sebanyak RM144.3 juta manakala Selangor (RM109.8 juta) dan Kedah (RM53.9 juta).

Bagi jumlah pekerja Aidilfitri, seramai 40,497 orang direkodkan, peningkatan 12 peratus berbanding 2023. Johor sekali lagi merekodkan bilangan tertinggi iaitu 7,110 orang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.