ad
BERITA UTAMA

Program tangkap ikan bandaraya diperluas ke lokasi baharu tahun ini

25 Jun 2025, 12:00 PM
Program tangkap ikan bandaraya diperluas ke lokasi baharu tahun ini

SABAK BERNAM, 25 JUN: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) sepanjang tahun ini di beberapa lokasi lain yang dikenal pasti sebagai habitat spesies berkenaan.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata kempen kesedaran bersama masyarakat juga akan dipergiat sebagai usaha mengurangkan populasi ikan invasif terbabit di kawasan perairan.

“Kita sudah bincang dalam jawatankuasa khas baru-baru ini untuk kita teruskan kempen pemburuan ikan bandaraya. Kita juga minta Universiti Selangor (Unisel) untuk buat kajian bagaimana mahu kurangkan populasi melalui kaedah biologi.

“Kita juga akan buat penilaian di setiap sungai, untuk tahu ada berapa banyak lagi ikan bandaraya ini serta buat kempen ini di sungai-sungai lain,” katanya kepada pemberita.

Insentif tangkapan ikan bandaraya diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ogos tahun lalu sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban.

Susulan itu, Kerajaan Negeri memperkenal tawaran insentif RM1 bagi setiap satu kilogram tangkapan ikan bandaraya yang bermula pada September tahun lalu di beberapa lokasi terpilih.

Pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Asing, Muhammad Haziq A Rahman dilapor berkata Selangor merekodkan tangkapan ikan asing tertinggi di negara ini iaitu 22 tan sejak aktiviti tersebut dimulakan pada Januari 2022.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.