SABAK BERNAM, 25 JUN: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan pendekatan baharu bagi menyelesaikan masalah banjir secara jangka masa pendek membabitkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT).
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata inisiatif 'Quick Win' itu membantu mengurangkan risiko banjir lebih besar sementara menunggu penyelesaian penuh yang melibatkan projek mega.
“Kita jangka pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bulan depan, akan ada lebih banyak soalan berkaitan infrastruktur terutama berkaitan banjir.
“Jadi, kita akan umum pendekatan baru mengenai penyelesaian banjir, kita akan perkenal langkah 'Quick Win' yang melibatkan tiga PBT iaitu Subang Jaya, Klang dan Shah Alam,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Pertanian dan Program Jualan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya di sini, semalam.
Izham menambah, inisiatif 'Quick Win' merupakan hasil perbincangan rapi pihaknya bersama tiga PBT terbabit baru-baru ini, yang dijangka menelan kos sehingga jutaan ringgit.
Jelasnya, perincian projek baharu itu akan dibuat dalam persidangan DNS selain dijangka siap sebelum Oktober depan, sebagai persediaan berdepan monsun timur laut.
“Banyak kawasan sudah dikenal pasti dan dijangka babit kos sehingga jutaan ringgit. Kita jangka ia dapat siap sebelum Oktober, iaitu sebelum monsun,” katanya.