ad
AGENSI

340,000 pengguna terima air percuma, permohonan masih dibuka

25 Jun 2025, 9:00 AM
340,000 pengguna terima air percuma, permohonan masih dibuka

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Orang ramai diminta segera membuat pendaftaran air percuma sementara tempoh permohonan Skim Air Darul Ehsan (SADE) masih dibuka sehingga hujung tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Adam Saffian Ghazali berkata mana-mana individu yang berdepan masalah boleh menghubungi pihaknya bagi urusan pendaftaran.

“Mana-mana yang rasa boleh mohon, boleh datang ke Air Selangor (pejabat) atau reruai yang dibuka atau boleh hubungi talian 15300.

“Kita akan bantu mereka untuk tengok sama ada boleh mohon atau tidak. Setakat ini 340,000 pengguna sudah terima manfaat SADE,” katanya kepada Media Selangor, semalam.

Terdahulu ketika membentang laporan kelestarian 2024, beliau berkata pendaftaran skim berkenaan meningkatkan 13 peratus, melibatkan 39,000 permohonan sepanjang tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

“Sehingga Disember 2024, seramai 324,000 akaun mendaftar skim SADE. Tahun ini kita harap dapat penuhi sasaran 500,000 pengguna,” katanya.

SADE yang diperkenal sejak 2019 memberi air percuma sebanyak 20 meter padu kepada kumpulan sasar di negeri ini.

Program penjajaran semula itu menumpukan golongan pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 ke bawah dan manfaat tersebut kini dinikmati lebih 4 juta pengguna.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.